Yayasan Sarawak tanggung pelajaran dua anak mendiang Joanna hingga ke universiti — Abang Johari

Abang Johari (dua dari kiri) bersama anak perempuan mendiang Joanna, Allesia di Kampung Engkeroh. Turut kelihatan Haslie (tiga dari kanan).

Oleh Chris Bishop

SERIAN, 28 April: Kos pelajaran dua anak mangsa tragedi helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut mendiang Laskar Kanan (LK) JJM Joanna Felicia Rohna akan diuruskan oleh Yayasan Sarawak.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, anak perempuan Allesia Felice Haslie, 4, dan anak lelaki, Hovannes Haslie, 1, akan dimasukkan ke dalam daftar Yayasan Sarawak.


“Anak yang pertama ini masih dalam taska dan apabila kedua-dua anaknya masuk ke sekolah rendah, menengah ke universiti, Yayasan Sarawak akan menanggung pelajaran mereka.

“Hari ini saya maklumkan kepada keluarga mereka khusus bapanya di mana kita akan mendaftar anak-anak ini dalam data Yayasan Sarawak.

“Kita akan menerusi bapanya (Haslie Ali) melihat perkembangan anak-anak ini daripada sudut pendidikan,” kata Abang Johari.

Beliau berkata demikian ketika melawat waris keluarga mendiang Joanna di Kampung Engkeroh, Tebakang hari ini.

Pada lawatan itu, Abang Johari turut menyampaikan bantuan sebanyak RM10,000 kepada waris keluarga mendiang Joana.

Dalam kejadian jam 9.32 pagi Selasa lalu (23 April), Joanna Felicia antara 10 anggota dan pegawai TLDM yang maut dalam tragedi dua helikopter terhempas ketika sedang menjalani raptai lintas hormat sempena sambutan Ulang Tahun Hari Terbuka TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut. — DayakDaily