BAU, Julai 5: Sebuah Yayasan Pendidikan Serembu akan ditubuhkan bagi membantu para pelajar dari kawasan Serembu yang tidak mampu melanjutkan pelajaran mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Miro Simuh berkata, rancangan penubuhan yayasan pendidikan berkenaan adalah penting bagi meningkatkan pendidikan di konstituensi berkenaan.
Menurutnya, beliau yakin lebih ramai modal insan yang berjaya boleh dilahirkan sekali gus membantu kepada pembangunan negeri ini.
“Inilah hasrat saya untuk membela rakyat melalui yayasan yang diwujudkan itu bagi membantu para pelajar di kawasan Serembu mencapai kemajuan dalam bidang pendidikan.
“Saya percaya dengan tertubuhnya Yayasan Pendidikan Serembu kelak, ia boleh mengubah nasib golongan miskin dan berpendapatan rendah dengan memberikan anak-anak mereka akses pendidikan melalui pelbagai bantuan yang disalurkan,” katanya pada Majlis Penutup Gawai Zon Serembu 2018 di sini.
Dalam pada itu, Miro memberitahu, pemegang amanah bagi yayasan tersebut kelak akan diuruskan oleh mereka yang layak.
Katanya, pelbagai program akan dirancang oleh yayasan berkenaan nanti bagi meningkatkan taraf sosio-ekonomi menerusi bidang ilmu dan pendidikan di kawasan Serembu.
“Sehuhungan itu, saya berharap masyarakat setempat juga akan menyokong rancangan ini bagi menjana kecemerlangan pendidikan kepada para pelajar di sini,” ujarnya lagi. ā DayakDaily