Yayasan Jantung sumbang peralatan bantu pesakit jantung mendapat rawatan

Jamilah (tiga kanan) menyerahkan seunit Sistem Ultrasound Bagi Echocardiography Dewasa berharga RM135,000 kepada pihak Pusat Jantung Sarawak.

KOTA SAMARAHAN, Nov 29: Kemudahan kepada pesakit jantung di Pusat Jantung Sarawak (PJS) di sini terus ditambah baik apabila Yayasan Jantung Sarawak (YJS) menyumbangkan peralatan yang lebih canggih bagi membantu merawat pesakit jantung.

Majlis penyerahan lima unit ‘Cardiac Mobile Monitoring System’ yang setiap unit berharga RM150,000 dan seunit Sistem Ultrasound Bagi Echocardiography Dewasa berharga RM135,000 telah disempurnakan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YJS, Datuk Amar Jamilah Anu kepada Pengarah PJS, Dr Mohd Asri Riffin hari ini.

Jamilah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu berharap dengan adanya peralatan itu kemudahan untuk memberi rawatan kepada pesakit jantung dapat dipertingkatkan khasnya kepada mereka yang berpendapatan rendah.


“Kita menyedari masalah yang dialami mereka yang berpendapatan rendah yang menghadapi masalah untuk mendapat rawatan akibat kos yang tinggi.

“Sumbangan peralatan ini sekurang-kurangnya mengatasi masalah yang mereka alami untuk mendapat perkhidmatan perubatan terbaik,” katanya.

Katanya, sumber kewangan bagi membeli peralatan itu diperolehi YJS melalui acara Larian Jantung 2017 pada Sept 24 lalu yang diadakan bersama yayasan itu dengan Jabatan Fisioterapi PJS.

Pada majlis itu Jamilah turut menyampaikan sumbangan peribadi sebanyak RM5,000 kepada Persatuan Jururawat Malaysia Cawangan Sarawak. — DayakDaily