Wong, Rayong dan Baru duduk di kerusi blok kerajaan pada sidang DUN Mei ini — Speaker DUN

Mohamad Asfia ketika ditemui di Kuching.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 14 April: Tiga bekas Adun pembangkang dari Parti Sarawak Bersatu (PSB) akan diletakkan di kedudukan susun atur kerusi di pihak kerajaan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mei ini.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, ia berikutan ketiga-tiganya iaitu Dato Sri Wong Soon Koh (Bawang Assan), Dr Johnichal Rayong Ngipa (Engkilili) dan Baru Bian (Ba’Kelalan) telah menyertai Parti Demokratik Progresif (PDP).


“Di bawah Perintah Tetap 2, ia adalah terpulang kepada budi bicara Speaker untuk menentukan kedudukan susun atur kerusi dan ia adalah muktamad.

“Sudah tentu, saya akan memaklumkan kepada ketua blok pemerintah (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg),” kata Mohamad Asfia.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Ramah Tamah Aidilfitri di Bangunan DUN hari ini.

Menurut Mohamad Asfia, beliau telah menerima surat daripada Presiden PDP Dato Sri Tiong King Sing pada 12 April lepas yang memaklumkan bahawa Wong, Rayong dan Baru telah diterima sebagai ahli PDP iaitu sebuah parti dalam komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Katanya, PDP meminta agar diberi pertimbangan supaya kedudukan susun atur kerusi ketiga-tiga Adun tersebut dikeluarkan dari blok pembangkang dan dimasukkan ke blok kerajaan.

“Maka pada persidangan DUN yang bermula 6 Mei ini, kedudukan susun atur kerusi ahli dewan akan diubah.

“Saya akan memberi kenyataan rasmi pada sidang media selepas mesyuarat pra DUN, iaitu sebelum persidangan bermula,” kata Mohamad Asfia.

PSB dibubarkan selepas Persidangan Khas Perwakilan 17 Feb lalu dengan permohonan pembubaran dikemukakan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada 11 Mac lalu.

Surat kelulusan pembubaran dari ROS diterima pada 19 Mac lalu.

Mesyuarat Majlis Tertinggi PDP yang diadakan pada 6 April lepas sebulat suara melantik Wong sebagai Naib Presiden Kanan PDP, manakala Rayong dan Baru masing-masing dilantik sebagai Naib Presiden PDP. — DayakDaily