Wisma SABATI gambaran kejayaan yang telah dicapai — Abang Johari

Taib (enam kanan) dan Abang Johari (lima kanan) memerhatikan modul Wisma SABATI yang bakal dibina. Turut kelihatan adalah Ragad (tujuh kanan).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 10 Julai: Yang di-Pertua Negeri Sarawak (TYT) Tun Abdul Taib Mahmud hari ini merasmikan Projek Wisma Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-isteri (Sabati).

Majlis yang diadakan di tapak projek di Jalan Bako, di sini, turut dihadiri isteri TYT, Toh Puan Ragad Kurdi Taib.


Turut hadir adalah Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta isteri, yang juga presiden SABATI, Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang.

Dengan terlaksananya majlis tersebut, impian ahli-ahli SABATI untuk memiliki bangunan sendiri semenjak penubuhannya pada tahun 1982 bakal direalisasikan.

“Sesungguhnya usaha untuk membina bangunan SABATI ini memang mencerminkan kejayaan-kejayaan yang telah dicapai oleh SABATI selama ini.

“Dengan siapnya bangunan ini nanti, sudah pasti ia akan menandakan satu tahap kemajuan tertinggi yang telah dicapai oleh Sabati sejak penubuhannya pada tahun 1982,” kata Abang Johari pada ucapannya di majlis tersebut.

Taib mengimbas tapak tangan di skrin sebagai simbolik merasmikan Projek Wisma Sabati.

Kejayaan SABATI seharusnya memberi gambaran bahawa ianya telah diuruskan dengan baik, dengan suntikan semangat, inspirasi dan pimpinan yang begitu kuat daripada para ahlinya, tambah beliau.

Katanya, walaupun Sarawak membuat langkah yang begitu besar daripada sebuah ekonomi konvensional kepada sebuah ekonomi digital, namun tidak semua aspek kehidupan boleh didigitalkan.

“Kasih sayang antara manusia, kebajikan, kesukarelawanan, pemeliharaan alam sekitar adalah antara aspek yang hanya boleh dilakukan oleh manusia, bukan robot.

“Dalam pengamatan saya, ini adalah antara aspek yang menjadi tonggak aktiviti SABATI,” ujar beliau.

Abang Johari turut memberi penghargaan kepada presiden pertama SABATI, iaitu Allahyarhamah Datuk Amar Laila Taib yang telah beusaha dengan gigih.

Katanya, dengan dorongan yang kuat daripada ketua menteri ketika itu (Taib), SABATI memainkan peranan yang lebih aktif dan bermakna dalam menyumbang kepada kesejahteraan rakyat Sarawak.

SABATI ialah sebuah persatuan yang berdaftar bertujuan menjalankan kerja-kerja amal untuk membantu mengurangkan kemiskinan, memberi bantuan kepada warga emas, memajukan pendidikan, kebudayaan, sukan dan agama.

Antara aktiviti-aktiviti yang pernah dianjurkan oleh SABATI ialah memberi sumbangan pelbagai bentuk kepada golongan yang memerlukan, program pengindahan, penjagaan alam sekitar dan penghijauan, sumbangan peralatan kepada hospital dan sebagainya.

SABATI juga telah menanam beribu-ribu pokok di seluruh negeri Sarawak selama ini dan menaja bayi-bayi dan kanak-kanak yang mempunyai masalah jantung ke Pusat Perubatan Normah, Kuala Lumpur dan Singapura.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, serta setiausaha kehormat SABATI Datin Dr Zaliha Abdullah turut hadir. — DayakDaily