Wilson mahu ICQS Tapak Megah di Ulu Baleh segera dibina

Wilson Ugak Kumbong
Advertisement

KUCHING, 23 Okt: Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong mahu Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Tapak Megah berhampiran Ulu Baleh dibina segera.

Menurut laporan TVS, Wilson berkata, pembinaannya boleh menggunakan peruntukan RM5.9 bilion daripada Kerajaan Persekutuan kepada Sarawak dalam Belanjawan 2025.

Katanya, pembinaan ICQS di kawasan berkenaan amat penting bagi melindungi tiga empangan terbesar Sarawak iaitu Empangan Baleh, Empangan Murum dan Empangan Bakun.

Advertisement

“Saya meminta pembinaan ICQS ini dapat dipercepatkan kerana di kawasan saya (Parlimen Hulu Rajang) dan sempadan Kalimantan, Indonesia iaitu Long Nawang adalah jarak 20 kilometer (km) di Long Nawang, ” katanya ketika ditemui di Dewan Rakyat pada semalam.

Tambah Wilson, ramai pendatang-pendatang asing masuk ke kawasan Sarawak tanpa pas atau permit yang sah.

Ujar beliau, ia sudah tentu akan berlakunya anasir-anasir jahat seperti aktiviti penyeludupan dadah serta aktiviti pemerdagangan manusia yang boleh menakutkan penduduk disekitarnya.

Wilson yakin ICQS itu kelak dapat membanteras aktiviti berkenaan dengan baik dan secara tidak langsung keselamatan rakyat serta empangan-empangan di kawasan berkenaan dalam keadaan terkawal dan selamat.

Sementara itu, Wilson juga mahu peruntukan yang disalurkan itu juga diguna untuk membina infrastruktur seperti jalan raya luar bandar di sekitar kawasan Baram dan Hulu Rajang.

“Kalau pembinaan jalan raya dapat dibangunkan untuk penduduk di kawasan luar bandar seperti kawasan Parlimen Hulu Rajang, maka penduduk di kawasan berkenaan tidak tertinggal dari arus pemodenan dan pembangunan.

“Bukan itu sahaja, infrastruktur bekalan air dan bekalan elektrik juga harus dipercepatkan,” tegasnya lagi. — DayakDaily

Advertisement