Willie dan Mordi perlu berani bawa suara kaum Bidayuh dalam Parlimen

Temenggong Austin Dimin

KUCHING, Mei 12: Calon Pakatan Harapan (PH) yang menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Parlimen Puncak Borneo dan Mas Gading diharapkan dapat membawa suara kaum Bidayuh dalam Dewan Rakyat kelak.

Temenggung Kaum Bidayuh, Austin Dimin berkata, wakil rakyat atau Ahli Parlimen yang dipilih bagi kawasan tersebut iaitu Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Mordi Bimol (Mas Gading) haruslah berani dan lantang bersuara bagi mengetengahkan masalah kaum Bidayuh di peringkat Persekutuan.

Jelas beliau, kemenangan kedua-dua mereka perlu dihormati oleh masyarakat Bidayuh kerana ia merupakan keputusan daripada rakyat sendiri.


“Saya selaku ketua kaum Bidayuh mewakili semua masyarakat di kedua-dua kawasan Parlimen berkenaan agar lantang membawa suara Bidayuh dalam Dewan Rakyat nanti.

“Kita juga mengharapkan beberapa pemimpin PH yang menang di kerusi Parlimen lain agar membawa suara rakyat Sarawak dalam sesi Parlimen akan datang,” katanya ketika dihubungi di sini semalam

Austin menambah, semua komuniti Bidayuh juga perlu berdoa dan berharap wakil rakyat baharu itu melakukan yang terbaik.

Katanya, beliau juga menaruh harapan agar mereka tidak melupakan usaha memperjuangkan hak-hak Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Ini adalah kerana, dalam Manifesto PH dalam PRU14, mereka turut menggariskan mahu mengembalikan status Sabah dan Sarawak.

“Kita juga berharap projek lebuh raya Pan Borneo diteruskan seperti janji-janji kerajaan sebelum ini, jika tidak ia bakal membawa masalah kepada rakyat di negeri ini,” ujarnya lagi. — DayakDaily