This Content Is Only For Subscribers
BINTULU, 11 Jun: Waspada dengan politik ekstremis yang memperalatkan agama demi kepentingan peribadi, kata Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing.
Menurut beliau, ada sebuah parti di Semenanjung Malaysia yang suka menggunakan agama dan bangsa sehingga berjaya mendapat banyak kerusi.
“Menjadikan agama sebagai propaganda dalam politik amatlah bahaya dan memberi kesan negatif dalam sebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia.
“Justeru, ini merupakan antara cabaran yang perlu kita hadapi, iaitu cabaran terhadap politik ekstrem yang memperalatkan agama serta politik perkauman yang semakin berleluasa ketika ini,” kata Tiong.
Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan di Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tri-Tahunan (TGA) PDP 2023 di Restoran Dinner World, Bintulu Sentral hari ini.
Perhimpunan tersebut telah dirasmikan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Dalam pada itu, Tiong yang juga Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya mengajak ahli-ahli parti dan GPS secara keseluruhan untuk memperbaiki kelemahan yang ada.
Katanya, jika suara rakyat tidak dihiraukan, ia pasti akan menyebabkan mereka ditolak oleh rakyat.
“Jika kita imbau kembali senario politik di seluruh dunia, kuasa politik yang terbesar pun boleh tumbang tanpa diduga.
“Apa yang berlaku pada masa lalu harus dijadikan pengajaran dan iktibar,” ujar Tiong. — DayakDaily