Wartawan diminta menjadi penangkis penyebaran berita palsu

Dr Sim berucap di Malam Media Tahun Baru Cina 2019 Persekutuan Pertubuhan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian.

KUCHING, Jan 28: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan meminta kalangan wartawan di negeri ini menjadi penangkis kepada penyebaran pelbagai berita palsu dan mensabotaj yang kerap disiarkan di media informasi.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Professor Datuk Dr Sim Kui Hian berkata ketika ini setiap warga negeri ini menjadi agen maklumat kepada media informasi dan mereka boleh menghebohkan apa sahaja maklumat melaluinya.

“Kadang-kadang maklumat itu betul, kadang-kadang ianya berita palsu dan berniat mensabotaj, jadi kami mahu kamu wartawan kekal profesional supaya kamu boleh menjelaskan berita terbabit dengan fakta sebenar,” katanya ketika merasmikan Malam Media Tahun Baru Cina 2019 Persekutuan Pertubuhan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian, di Jalan Sekama, di sini, semalam.

Majlis terbabit juga dihadiri Konsulat Jeneral Republik China di Kuching, Cheng Guangzhong, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Lo Khere Chiang, bekas Ahli Parlimen Stampin, Datuk Yong Khoon Seng dan Presiden Persekutuan Pertubuhan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian, Dato Richard Wee.

Dr Sim Kui Hian berkata ini penting supaya orang ramai dan golongan majoriti di negeri ini dapat menilai berita palsu dan mensabotaj di media informasi terbabit dan seterusnya mereka tidak terpedaya menjadi agen maklumat yang menghebohkannya.

“Sehubungan itu, saya menyeru editor dan pemilik media dan agensi kerajaan di negeri ini memberikan kerjasama kepada kalangan wartawan tempatan bagi menjalankan tugas mereka dengan profesional kerana itu bukannya sesuatu yang mudah,” katanya.

Disamping itu beliau juga memuji Persekutuan Pertubuhan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian kerana dapat bekerjasama dengan wartawan tempatan kerana kedua-dua pihak memainkan peranan penting menjaga perpaduan penduduk negeri ini.

“Saya juga mengucapkan tahniah kepada persatuan ini kerana telah melakukan tugas yang baik dalam budaya, kebajikan dan pendidikan serta perpaduan masyarakat Cina,” katanya. — DayakDaily