Sarawak hilang seorang pemain sape profesional

Anggota Bomba membawa mayat mangsa turun dari lokasi kejadian.

KUCHING, 10 Jun: Seorang pemain sape yang pernah dinobatkan juara dunia instrumentalis untuk kategori klasik kontemporari dan terbuka Kejohanan Seni Persembahan Dunia (WCOPA) pada tahun 2017 ditemui mati di pejabatnya, di City Square, malam tadi (Khamis).

Mangsa dikenali sebagai Saufi Aiman Yahya berusia 31 tahun itu ditemui dalam keadaan terbaring kaki di ruang tempat membaca di pejabatnya sekitar jam 9 malam tadi.

Anggota paramedik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dikejarkan ke lokasi kejadian dan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.


Pada sekitar jam 9.13 malam, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Padungan diketuai Pegawai Bomba Kanan Abdul Aziz telah hadir di lokasi kejadian untuk membantu mengangkat mayat mangsa turun dari lokasi kejadian iaitu aras 2 sebuah bangunan kedai.

Seramai enam anggota Bomba lengkap memakai PPE mengalas tugas membawa mayat mangsa turun dan kemudian menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke rumah mayat Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan selanjutnya.

Beberapa anggota dari Balai Polis berdekatan juga hadir di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.—DayakDaily