Warga Kuching diminta elak melakukan rentas daerah

Dr Sim (dua dari kiri) menyampaikan piala pelatih terbaik keseluruhan kepada Pegawai Bomba Bantuan yang menerimanya di Ibupejabat Bomba Sarawak di Kuching, hari ini (13 Julai, 2020).

KUCHING, 13 Julai: Warga Kuching diminta tidak melakukan perjalanan rentas daerah bagi membantu mengawal penyakit Covid-19 yang telah ada dikesan kembali berlaku di bandar raya ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata demikian walaupun setakat ini masih tiada larangan bagi mereka dari melakukan rentas sempadan antara daerah.

“Jangan lah pulang ke rumah panjang dan sebagainya (di daerah lain) sehingga semua kes positif (di Kuching) dapat dikesan,” katanya selepas menghadiri Majlis Pertauliahan Pegawai Bomba Bantuan di Ibupejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak di Jalan Setia Raja, di sini, hari ini.


Turut hadir pengarah Bomba Sarawak Khirudin Drahman.

Dr Sim juga mengalakkan penduduk bandar raya ini yang pernah ada hubungan dengan kes positif Covid-19 baharu-baharu ini untuk segera menjalani ujian pengesanan penyakit itu.

Katanya orang ramai boleh membuat ujian terbabit di salah satu dari lima klinik kerajaan yang ada di sekitar bandar raya ini.

Sementara itu mengenai samada sekolah bandar raya ini perlu ditutup berikutan berulangnya kes positif dan kes kematian akibat Covid-19, Dr Sim berkata itu akan bergantung kepada perbincangan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak  dengan Kementerian Pendidikan.

“Kami ada tempoh dua hari lagi bagi membincangkannya. Kami juga perlu melihat  keseluruhannya bagi Sarawak termasuk kes (positif) terbaharu dan sebagainya,” katanya.

Ini berikutan pelajar tingkatan 1 hingga 4 dan kelas peralihan serta murid tahun 5 dan 6 akan mula kembali ke sekolah di seluruh negara pada 15 Julai ini.-DayakDaily