Warga emas selamat, rumah musnah terbakar di Kg Abang

Api sedang marak dalam kejadian kebakaran yang yang memusnahkan rumah didiami seorang wanita warga emas di Kampung Abang, Jalan Puncak Borneo.

PUNCAK BORNEO, 24 Feb: Seorang wanita warga emas tinggal sehelai sepinggang selepas rumah yang didiaminya di Kampung Abang di sini musnah dalam kebakaran pagi tadi.

Bagaimanapun wanita terbabit yang berusia 79 tahun berjaya menyelamatkan dirinya tanpa sebarang kecederaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tesebut sekitar jam 8.03 pagi tadi sebelum mengarahkan keluaran Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan untuk ke lokasi kejadian.


“Pasukan kita mengambil masa kira-kira 42 minit untuk sampai di lokasi kejadian yang terletak kira-kira 45 kilometer dari balai bomba yang terdekat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi pemadaman itu juga turut dibantu anggota bomba sukarela (PBS) Simpok.

Anggota bomba memadamkan kebakaran yang memusnahkan rumah didiami seorang wanita warga emas di Kampung Abang, Jalan Puncak Borneo.

Katanya, kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya 50 minit kemudian sebelum operasi berkenaan ditamatkan pada jam 9.45 pagi.

“Siasatan masih dijalankan bagi mengenalpasti punca kebakaran serta jumlah kerugian yang terlibat,” katanya. — DayakDaily