MIRI, 2 Sept: Seorang lelaki warga emas rentung selepas kereta yang dipandunya terbabas lalu terbakar di Jalan Taman Awam, di sini semalam (Rabu).
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) berkata kejadian dilaporkan berlaku pada jam 10.50 malam dan anggota dari Balai Bomba Miri terus ke lokasi kejadian.
“Tiba di lokasi, komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan sebuah kereta yang dikatakan terlibat kemalangan kendiri.
“Kereta tersebut dikatakan terbabas dan melanggar pokok lalu terus terbakar.
“Terdapat seorang mangsa terperangkap di dalam kereta tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, bomba kemudian berusaha mengeluarkan mayat mangsa yang dikenali sebagai Tan Kaw Tee,61 tahun.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. — DayakDaily