Warga emas melecur, anak lumpuh selamat selepas kediaman terbakar

Anggota bomba sedang melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.
Advertisement

KUCHING, Jun 7: Seorang lelaki warga emas melecur pada tangannya, manakala anaknya yang lumpuh separuh badan berjaya diselamatkan selepas kediaman mereka di Kampung Siol Kandis musnah terbakar, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 1.42 pagi itu, mangsa, Abdul Rahman Lamat, 83, cedera melecur di bahagian tangan, manakala anaknya, Zaidi Abdul Rahman, 52, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.44 pagi.

Advertisement

Jelasnya, sejurus menerima maklumat kebakaran itu, sepasukan 11 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Tujuh anggota bomba dari BBP Padungan juga bergegas ke lokasi kejadian sebagai pasukan bantuan.

“Apabila tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar rumah dua tingkat jenis separuh kekal itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tiong menambah, pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua mangsa dalam keadaan selamat selepas dibantu oleh penduduk setempat.

Katanya, mangsa cedera kemudian diberi rawatan awal sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Buat masa ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan,” ujarnya lagi. — DayakDaily

Advertisement