Kereta bertembung dengan lori, seorang lelaki temui ajal

Anggota bomba berusaha mengeluarkan mayat mangsa.

MUKAH, Jun 7: Seorang lelaki terkorban selepas kereta yang dipandu hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah lori kargo di KM 103, Jalan Sibu-Bintulu di sini lewat petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.38 petang itu, mangsa, Imban Mangat, 42, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badannya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, semasa kejadian, mangsa yang memandu kereta Proton Saga sedang dalam perjalanan dari Selangau ke arah Bintulu.


Bagaimanapun katanya, apabila sampai di tempat kejadian, kereta yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori.

“Kesan perlanggaran itu mengakibatkan mangsa tersepit dan mengalami kecederaan parah pada anggota badannya.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan di tempat kejadian sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Mukah untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alexson menambah, pemandu lori yang berusia 41 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, pihak polis sudah merakam keterangan daripada pemandu lori untuk siasatan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. — DayakDaily