Warga emas maut, motosikal dirempuh kereta

Keadaan motosikal mangsa di tempat kejadian.

PADAWAN, Mac 18: Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di Batu 19, Jalan Kuching-Serian di sini lewat petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, mangsa, Sabu Piee, 60, disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan akibat kecederaan parah pada anggota badannya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, pemandu Toyota Camry berusia 57 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan.


Katanya, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal Modenas Kriss dikatakan tiba-tiba keluar dari simpang hendak melintas ke susur di arah jalan yang bertentangan secara melawan arus.

“Toyota Camry yang sedang bergerak dari arah bandar raya Kuching ke Serian dikatakan tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal mangsa.

“Mangsa yang tercampak dari motosikalnya kemudian mengalami kecederaan parah pada kepala dan kakinya sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Alexson, mayat mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk dibedah siasat.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. — DayakDaily