Jerip enggan mengulas khabar angin calon BN di Puncak Borneo

Dr Jerip (dua dari kanan) melawat gerai dibuka institusi latihan kemahiran bagi lepasan sekolah mendapatkan maklumat di acara Project Of Dream Realised (PRODR) Roadshow 2018.

SERIAN, Mac 18: Wakil rakyat kaum Bidayuh dari kawasan Puncak Borneo enggan mengulas mengenai khabar angin mendakwa setakat ini masih belum ada ahli politik kaum itu yang sudah dikenalpasti menjadi calon Barisan Nasional (BN) bagi bertanding di kawasan Parlimen Puncak Borneo pada pilihanraya umum ini walaupun ramai telah melobi menjadi calon terbabit.

Antaranya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong dan Timbalan Presiden Parti Rakyat Bersatu (UPP) Datuk Dr Jerip Susil yang menegaskan beliau tidak mahu menjawab dan mengulas mengenai khabar angin berkaitan kerusi Parlimen majoriti pengundi kaum Bidayuh terbabit.

“Saya tidak akan menjawab mengenai (khabar angin) itu dan saya tiada ulasan mengenainya,” kata selepas merasmikan Project Of Dream Realised (PRODR) Roadshow 2018 anjuran Tabung Ekonomi Gagasan Anak Bumiputra Sarawak (TEGAS) di Dewan Mesyuarat Serian, di sini hari ini.


Menurut khabar angin terbabit, sehingga 17 ahli politik melobi menjadi calon kerusi Parlimen Puncak Borneo berikutan penyandangnya kemungkinan tidak akan dicalonkan semula tetapi setakat ini belum ada yang sudah dipilih menjadi calon BN bagi mempertahankan kerusi terbabit dan hanya tiga dari mereka yang melobi dikatakan ada kelebihan dipilih berbanding yang lain.

Ketika ini kerusi Parlimen Puncak Borneo disandang Datuk Seri James Dawos Mamit dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang memenangi kerusi terbabit pada 2013 dengan 9,721 undi majoriti mengalahkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Willie Mongin dan calon Parti Reformasi Negeri (STAR) Dr Dripin Sakoi.

Dr Jerip yang juga Menteri Muda Pengangkutan turut enggan mengulas samada beliau mahu menyokong siapa sahaja yang dipilih BN bagi mempertahankan Parlimen Puncak Borneo dan menegaskan enggan mengulas sebarang perkara berkaitan politik di acara itu.

“Acara yang dirasmikan hari ini adalah mengenai usaha TEGAS dan kita tidak mahu ianya ada berkaitan dengan politik,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi TEGAS.

Beliau berkata pihaknya mengadakan Project Of Dream Realised (PRODR) Roadshow 2018 bagi membolehkan seramai mungkin lepasan sekolah menengah sekitar Serian memohon kemasukan ke institusi latihan kemahiran.

“Ini kerana kami menyedari selepas Tingkatan Lima atau Enam, mereka terus hilang arah tujuan. Jadi melalui acara ini, mereka akan mula melihat ke masa depan dan mengenalpasti apa yang mereka minati serta ke mana mereka mahu pergi,” katanya.

Acara itu juga bagi membantu lepasan sekolah terbabit memilih institusi dan bentuk latihan kemahiran yang bersesuaian dengan minat mereka supaya dapat menamatkan latihan tersebut dan akan membolehkan mereka mendapat pekerjaan dengan tawaran gaji yang lebih baik. — DayakDaily