Warga emas maut, dilanggar ketika menyeberang jalan di KM49 Jalan Sri Aman-Sarikei

Anggota polis trafik menjalankan siasatan di lokasi kemalangan.

SRI AMAN, 21 Feb: Seorang wanita warga emas berusia 73 tahun meninggal dunia akibat dilanggar kereta ketika menyeberang jalan di Kilometer 49 Jalan Sri Aman-Sarikei hari ini.

Ketua Polis Daerah Sri Aman DSP Mathew Manggie berkata kemalangan dilaporkan berlaku sekitar jam 11.20 pagi.

Katanya, mangsa semasa kejadian dikatakan sedang menyeberangi jalan dari bahu jalan ke tengah jalan.


“Sebuah kereta yang sedang bergerak di lorong kanan dari arah Kuching menuju ke Miri telah melanggar mangsa yang dikatakan menyeberang jalan secara tiba-tiba.

“Impak perlanggaran berlaku di tengah-tengah jalan menuju ke Sarikei dan akibat perlanggaran tersebut menyebabkan mangsa terpelanting ke atas jalan raya dan mengalami kecederaan di kepala,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pemandu kereta telah membawa mangsa menggunakan keretanya ke klinik Kesihatan Skrang yang terletak lebih kurang 5 kilometer dari tempat kemalangan.

“Setibanya di klinik tersebut, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh doktor yang bertugas,” katanya.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sri Aman untuk bedah siasat.

Siasatan lanjut kes dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. ā€” DayakDaily