Polis buru individu dalam video tular membawa objek berbahaya di Jalan Batu Kawa

Tangkap layar dari video tersebut yang tular di media sosial.

KUCHING, 22 Feb: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan telah mengenal pasti beberapa individu dalam video yang tular di media sosial membawa objek berbahaya di tempat awam.

Ketua Polis Padawan Supt Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata satu laporan polis telah dibuat ke atas video tersebut yang disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Katanya, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih 10 tahun.


“Pihak polis telah berjaya mengenalpasti beberapa individu yang terlibat dan percaya tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat.

“Satu operasi telah digerakkan bagi mengesan dan menangkap kesemua individu yang terlibat dan turut membantu ialah pasukan D7 dan D9 JSJ IPK Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Difahamkan video kejadian tersebut dirakam berlaku di tempat letak kereta awam Jalan Batu Kawa Kuching.

Abang Zainal menegaskan pihak polis memandang serius perkara tersebut.

“Masyarakat juga harus terus mempercayai polis menguatkuasakan undang-undang dan menyalurkan apa-apa jua maklumat agar dapat membantu menyelesaikan kes-kes jenayah yang dilaporkan,” katanya. — DayakDaily