KOTA SAMARAHAN, 20 Jan: Seorang lelaki warga emas maut dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal di Jalan Sungai Buloh, dekat KM37 Jalan Kota Samarahan-Sadong Jaya, malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata mangsa yang berusia 64 tahun dari Kampung Iboi, Sadong Jaya disahkan meninggal dunia dipercayai akibat kecederaan parah di kepala.
Katanya, mangsa semasa kejadian menunggang motosikalnya menuju ke arah Simunjan sekitar jam 8.30 malam.
“Apabila tiba di tempat kejadian, mangsa tiba-tiba dilanggar dari belakang oleh sebuah motosikal yang bergerak lurus dari arah yang sama.
“Mangsa tercampak di tepi jalan sehingga mengalami kecederaan parah di kepala kerana dipercayai tidak menggunakan topi keledar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Seorang lagi penunggang motosikal mengalami luka di kaki, tangan serta pinggang dan dihantar ke Klinik Sadong Jaya untuk rawatan.
Siasatan lanjut kes masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily