This Content Is Only For Subscribers
MUKAH, 1 Ogos: Seorang lelaki warga emas disahkan meninggal dunia dalam kemalangan kendiri di KM 5, Jalan Mukah-Oya, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias berkata kejadian membabitkan mangsa berusia 69 tahun dan kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 6 pagi.
Katanya mangsa semasa kejadian menunggang sebuah motosikal dan siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke tepi jalan ketika tiba di KM 5 Jalan Mukah-Oya.
“Akibat daripada kemalangan tersebut, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas diperiksa oleh pihak perubatan Hospital Mukah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke bilik mayat Hospital Mukah untuk tindakan selanjutnya.
Manakala motosikal mangsa dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) bagi tujuan pemeriksaan Puspakom.
Kes masih disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily