Warga emas disahkan mati, kes disiasat sebagai kes bunuh

Suspek ditangkap untuk siasatan lanjut.

BAU, 8 Sept: Seorang lelaki kini disiasat sebagai suspek kes bunuh selepas lelaki warga emas yang disyaki dipukulnya pada 4 September baru-baru ini disahkan meninggal dunia semalam.

Mangsa yang berusia 60 tahun dikatakan dipukul suspek menggunakan kerusi di sebuah kedai makan di Siniawan Villa sekitar jam 5.57 petang.

Difahamkan, kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada kemalangan jalan raya membabitkan mangsa dengan suspek.


Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon memberitahu suspek ditangkap pada hari kejadian selepas laporan dibuat oleh anak saudara mangsa.

Katanya, suspek awalnya ditahan reman bermula 5 hingga 9 September untuk siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun keseksaan.

“Bagaimanapun, kes diklasifikasikan semula dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas mangsa disahkan meninggal dunia pada 7 September.

“Pihak polis menjalankan siasatan kes ini secara rapi serta profesional dan kes akan dilengkapkan untuk dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Negeri,” katanya. — DayakDaily