KUCHING, 28 Mac: Sebuah rumah dihuni sepasang warga emas di Jalan Sungai Maong Ulu, di sini musnah dalam kebakaran malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 11.48 malam.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang dan Tabuan Jaya dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat jenis kekal.
“Terdapat dua orang mangsa warga emas. Seorang berjaya menyelamatkan diri, manakala seorang mangsa yang terperangkap telah berjaya diselamatkan pasukan Bomba,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mangsa yang terperangkap telah dikejarkan ke Pasukan EMRS Bomba ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk menerima rawatan.
Sementata itu pasukan Bomba menjalankan pemadaman secara ‘fire break’ menggunakan dua aliran, dua pancutan 200 kaki di kiri dan kanan bangunan bagi menyekat kemerebakan pada rumah berhampiran.
“Manakala pasukan Bomba mengunakan satu aliran, satu pancutan untuk operasi memadam kebakaran.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 12.39 tengah malam,” katanya.
Setelah memastikan keadaan selamat dan tiada lagi punca nyalaan, pasukan Bomba bertolak balik ke balai.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.13 pagi. — DayakDaily