Warga emas, 75, ditahan polis dalam kes Proton Wira lawan arah di Pending

Gambar menunjukkan Proton Wira tersebut yang dilihat dipandu melawan arah di Pending.

KUCHING, Mei 17: Seorang wanita warga emas iaitu pemandu Proton Wira yang tular kerana melawan arah di simpang lampu isyarat Pending berhampiran Klinik Kesihatan Tanah Puteh, di sini telah ditahan polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Supt Merbin Lisa berkata wanita berusia 75 tahun itu tampil menyerah diri di IPD Kuching pada 15 Mei.

Katanya, suspek telah diambil keterangan dan kertas siasatan akan rujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya.


“Wanita berumur 75 tahun yang melawan arah di persimpangan lampu isyarat Jalan Pending telah ditahan polis untuk siasatan lanjut,” kata Merbin dalam satu sidang media selepas perhimpunan bulanan Ketua Polis Daerah Kuching di IPD Kuching, di sini hari ini.

Tambahnya, kenderaan yang digunakan oleh suspek semasa kejadian turut disita untuk siasatan lanjut.

Jelas beliau, siasatan awal mendapati suspek mendakwa dia tergesa-gesa untuk menjual barangan terpakai di kilang barang lusuh berhampiran pada petang 13 Mei.

“Memandangkan kedai itu dijangka tutup dalam masa terdekat dan disebabkan kesesakan lalu lintas menyebabkan dia mengambil keputusan tidak wajar dengan melawan arah jalan untuk ke kedai tersebut,” katanya.

Kes tersebut masih disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu dan dengan cara yang merbahaya kepada orang lain.

Suspek dikatakan telah dibebaskan dengan ikat jamin polis selesai rakam kenyataannya. — DayakDaily