Warga emas, 73, antara dua lelaki ditahan semasa serbuan Ops Hiburan

JSJ IPD Miri melakukan dua serbuan berasingan di Bekenu dan Tudan awal minggu ini.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 5 Mei: Padah beroperasi tanpa lesen sah, sebuah premis hiburan di Jalan Tudan Desa Indah diserbu polis.

Turut ditahan semasa serbuan yang dijalankan sekitar jam 3.30 pagi Rabu (4 Mei) itu, seorang pemuda berusia 20 tahun dipercayai penjaga premis.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu, turut dirampas semasa operasi dinamakan Ops Aidilfitri /Ops Hiburan itu ialah beberapa komponen alatan karaoke dan wang tunai berjumlah RM940.

Operasi dilakukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri.

Sementara itu, dalam satu operasi berasingan di Bekenu, seorang lelaki warga emas berusia 73 tahun penjaga sebuah premis hiburan ditahan bersama beberapa kotak rokok dan minuman keras dipercayai tidak bercukai.

Serbuan dilakukan pada Isnin sekitar jam 3.50 petang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. — DayakDaily