Kapal nelayan tempatan membawa pekerja asing tanpa permit ditahan di Bintulu

Kapal yang ditahan dalam operasi tersebut.

BINTULU, 4 Mei: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu menahan sebuah bot nelayan tempatan yang mencurigakan di perairan Tanjung Kidurong Bintulu petang, semalam.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, bot nelayan tempatan tersebut ditahan pada jarak lebih kurang 2.5 batu nautika kerana dilihat mencurigakan sekitar jam 3 petang.

Katanya, hasil siasatan mendapati terdapat pekerja warga asing tanpa permit sah yang dikeluarkan Jabatan Perikanan Malaysia di kapal tersebut.

“Hasil pemeriksaan dan penggeledahan mendapati tiga kru termasuk tekong mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah tetapi gagal mengemukakan permit kebenaran untuk bekerja di atas bot tersebut.

“Semasa periksa dan geledah, tiada sebarang muatan dijumpai pada vesel berkenaan dan dipercayai baharu keluar ke laut untuk melakukan aktiviti penangkapan ikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kesemua kru termasuk tekong berusia lingkungan 23 hingga 47 tahun warga Indonesia serta bot ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut.

Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan kerana menggaji pekerja asing tanpa permit dan telah melanggar syarat di dalam buku lesen yang telah ditetapkan.

Maritim Malaysia sentiasa mengingatkan kesemua komuniti maritim agar mematuhi segala peraturan dan undang-undang sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut.

“Kita juga mengalu-alukan sebarang maklumat serta aduan daripada seluruh komuniti maritim bagi melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan ataupun kecemasan di laut melalui talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314 254) atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) yang beroperasi 24 jam,” katanya. — DayakDaily