Warga asing maut, berlanggar dengan lori tangki di Bekenu

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

BEKENU, 13 Sept: Seorang lelaki warganegara Indonesia meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Simpang Bekenu, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata mangsa semasa kemalangan tersebut menunggang sebuah motosikal.

Katanya, mangsa difahamkan keluar simpang ladang sawit tempat dia bekerja lalu berlanggar dengan sebuah lori tangki minyak pada jam 7.40 pagi.

Beberapa anggota dari Balai Bomba Lopeng turut hadir di lokasi kejadian.

“Mangsa tersepit di bawah lori tersebut dan kemudian diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas berjaya dialihkan oleh pihak Bomba.

“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Pemandu lori dikatakan tampil menyerah diri di balai polis berhampiran. — DayakDaily