Wanita warganegara Malaysia mangsa ke-17 koronavirus

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUCHING, Feb 9: Seorang wanita warganegara Malaysia berusia 65 tahun disahkan positif wabak koronavirus hari ini.

Dengan kes terbaharu ini, jumlah mangsa meningkat kepada 17 orang di seluruh negara.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, wanita berkenaan merupakan ibu mertua kepada kes warganegara Malaysia yang dilaporkan pada Februari 4 lalu (iaitu kes ke-9).

Katanya, wanita tersebut mempunyai beberapa penyakit kronik sedia ada seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, lumpuh separuh badan, seorang pesakit jantung yang menggunakan perentak jantung (pacemaker) serta pergerakan yang terhad.

“Beliau mempunyai kontak langsung dengan kes indeks (kes ke-9) semasa duduk semeja bagi beberapa jamuan makan sempena sambutan Tahun Baru Cina bersama-sama ahli keluarga yang lain pada 26, 27 dan 28 Januari 2020,” kata beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Dr Noor Hisham, sepanjang Januari 29 hingga Februari 4 lalu, mangsa hanya berada di rumah sehinggalah sehari kemudian, beliau mengadu mengalami pening kepala, berpeluh dan tidak bermaya tetapi tiada demam.

“Beliau seterusnya telah dibawa untuk mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di salah sebuah hospital swasta.

“Sejurus selepas itu, beliau dibenarkan pulang ke rumah dengan temujanji susulan pada 7 Februari 2020,” kata Dr Noor Hisham.

Namun, sebaik menantunya (kes indeks ke-9) dikesan positif koronavirus, mangsa telah dijejaki oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

“Hasil siasatan mendapati beliau tidak mempunyai sejarah perjalanan ke negara China.

“Ujian pengesanan dan pengesahan 2019-nCoV yang dijalankan ke atasnya telah dilaporkan positif pada 8 Februari 2020, manakala bagi lain-lain ahli keluarganya adalah negatif,” ujar Dr Noor Hisham lagi.

Mangsa kini dimasukkan ke wad pengasingan di Hospital Sungai Buloh dan berada dalam keadaan stabil. — DayakDaily