Oleh Brad Rantayy
MIRI, 5 Mei: Seorang wanita warga emas yang dilaporkan sesat di kawasan kebun kelapa sawit berdekatan Simpang Pakut Jalan Miri-Bintulu Pan Borneo petang Rabu, ditemui selamat.
Menurut Ketua Balai Batu Niah Rary Binjie mangsa berusia 81 tahun itu dikenali sebagai Sandi Utih, ditemui anggota dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang terdiri daripada pasukan Bomba bersama penduduk kampung, pada jarak lebih kurang 300 meter dari kediaman anak lelakinya.
“Mangsa ditemui dalam keadaan selamat tanoa sebarang kecederaan pada badan pada jam 8.36 malam,” ujar Rary.
Menurut Rary, anak lelaki wanita terbabit telah membuat laporan setelah dimaklumkan ayahnya bahawa ibunya tidak sampai ke rumah selepas berangkat balik dari kediaman anaknya itu sekitar jam 4 petang Rabu.
“Bimbang dengan keberadaan ibunya, anak mangsa telak memaklumkan pihak kami untuk mencarinya pada jam 7.30 malam,”kata Rary.
Semasa mangsa dijumpai, wanita warga emas tersebut berada di kawasan pokok kelapa sawit dan dalam keadaan selamat dengan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mangsa lalu dipikul oleh anggota operasi sehingga ke rumah mangsa dan seterusnya diserahkan kepada keluarga mangsa,” Rary berkata. — DayakDaily