This Content Is Only For Subscribers
MUKAH, 6 June: Seorang wanita warga emas berusia 80 tahun ditemui rentung dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah di Kampung Tutus Ulu Jalan Mukah Balingian-Mukah hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 12.04 tengah malam.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Komander operasi lapor kebakaran melibatkan sebuah rumah yang dihuni enam orang dan lima daripada mereka berjaya keluar menyelamatkan diri.
“Seorang wanita warga emas berumur 80 tahun telah dijumpai rentung di bawah runtuhan rumah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pasukan Bomba kemudian terus memadam kebakaran tersebut sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan. — DayakDaily