SERIAN, 13 Mac: Seorang wanita warga emas maut dipercayai dilanggar lari dalam satu kemalangan di Kilometer 80 Jalan Kuching-Sri Aman hari ini.
Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis berkata mangsa, 67 tahun, berasal dari Kampung Antayan Keropok, Serian.
Katanya, mangsa semasa kejadian dikatakan berjalan kaki dan dipercayai dilanggar sebuah kenderaan semasa melintas jalan dari kiri jalan arah menuju ke Sri Aman.
“Akibat perlanggaran tersebut menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di kepala serta badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Serian untuk bedah siasat.
Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis menyeru agar orang yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk tampil membantu siasatan.
Sebatang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Sub-Inspektor Adrian Francis di talian 019-8347530 atau 082-874260. — DayakDaily