Wanita warga emas dipercayai hilang sejak 4 hari lalu ditemui selamat di Selangau

Mangsa diusung oleh pasukan SAR sebaik sahaja dijumpai.

SELANGAU, 7 Nov: Seorang wanita warga emas yang dipercayai hilang sejak empat hari lalu di kawasan hutan di Kampung Rian, di sini ditemui selamat semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata mangsa, 89 tahun, ditemui kira-kira 500 meter dari rumahnya sekitar jam 2.58 petang.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan selepas laporan diterima pada jam 1.55 petang.

“Pada jam 2.58 petang, mangsa telah dijumpai oleh anggota SAR dalam jarak 500 meter dari rumah mangsa di bawah jurang setinggi 6 meter dalam keadaan selamat serta lemah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa kemudian dibawa balik menggunakan pengusung.

“Seterusnya dia diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Selangau untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.20 petang.

Laporan kehilangan mangsa dibuat oleh cucunya yang menyedari mangsa sudah empat hari tiada di rumah.

Cucunya itu terdahulu mencari mangsa disekitar kawasan rumah sebelum tampil melaporkan kepada polis untuk bantuan mencari mangsa.

Turut sama dalam operasi SAR tersebut ialah anggota polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). — DayakDaily