Kerana tebuan, rumah nyaris terbakar

Anggota Bomba memastikan kebakaran telah padam sepenuhnya.

KUCHING, 7 Nov: Sebuah rumah di Taman Sri Pena, Petra Jaya nyaris terbakar gara-gara tuan rumah membakar sarang tebuan, semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhuhung kejadian pada jam 3.41 petang.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Komander operasi maklum hanya berlaku kebakaran kecil pada bumbung rumah tersebut disebabkan oleh aktiviti membakar sarang tebuan oleh pemilik rumah,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Jelasnya, anggota Bomba kemudian bertindak segera memadam kebakaran tersebut.

“Pasukan Bomba kemudian bertolak balik ke balai setelah melakukan pemadaman dan memastikan keadaan selamat dan tiada tanda-tanda kemerebakan api,” katanya. ā€” DayakDaily