Wanita warga emas dijumpai selamat

Warga emas dipikul anggota Bomba selepas berjaya ditemui dalam keadaan selamat.

BINTULU, 25 April: Seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang selepas dilihat masuk ke dalam hutan di Kampung Iran, di Jalan Pesisir Miri-Bintulu ditemui selamat.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata mangsa yang berusia 88 tahun dilaporkan tidak pulang selepas kali terakhir dilihat pada jam 3 petang semalam.

Katanya, ahli keluarga mangsa terus membuat laporan selepas menyedarinya masih tidak pulang sehingga jam 8.44 malam.


“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan sebaik sahaja laporan diterima dan memandangkan keadaan gelap, pasukan operasi hanya mencari sekitar radius 300 meter.

“Setelah 10 minit pencarian dijalankan, mangsa akhirnya berjaya ditemui sekitar jam 9.17 malam di kebun sawit dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa kemudian dihantar ke rumahnya dan operasi SAR dilaporkan tamat sepenuhnya selepas itu. — DayakDaily