Oleh Dean Adam
KOTA SAMARAHAN, April 8: Seorang wanita maut selepas kereta yang dipandunya hilang kawalan lalu terhumban ke dalam parit di Jalan Kampung Terasik dekat sini hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan tersebut pada pukul 1.15 petang.
Jelasnya, sepasukan anggota bomba dari BBP Kota Samarahan kemudian diarahkannya ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.
“Apabila tiba di tempat kemalangan, komander operasi melaporkan sebuah kereta jenis Hyundai dalam keadaan terbalik di dalam sebuah parit.
“Pemeriksaan mendapati mangsa yang tidak sedarkan diri sudah dikeluarkan oleh orang awam,” katanya di sini hari ini.
Jurucakap sama menambah, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi itu tamat sepenuhnya pada pukul 2.45 petang,” jelasnya. — DayakDaily