Lima sekeluarga tinggal sehelai sepinggang akibat rumah terbakar

Pasukan bomba sedang berusaha memadam kebakaran melibatkan sebuah rumah.

Oleh Dean Adam

LIMBANG, April 8: Lima sekeluarga tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka di Kampung Entangis di sini musnah terbakar malam tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 9.10 malam itu, tiada laporan kecederaan dilaporkan berlaku.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 9.16 malam.

Jelasnya, sepasukan anggota bomba dari BBP Limbang kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.

“Apabila tiba, komander operasi melaporkan api sedang marak membakar kediaman jenis struktur tidak kekal setingkat.

“Pasukan bomba segera melakukan operasi memadam bagi memastikan keadaan api terkawal,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, pemeriksaan mendapati kesemua penghuni rumah tersebut berjaya keluar menyelamatkan diri.

Katanya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 10.12 malam.

“Buat masa ini, punca kebakaran masih lagi dalam proses siasatan,” katanya. — DayakDaily