Oleh Brad Rantayy
MIRI, 17 Sept: Seorang wanita tempatan ditemui mati dalam bilik sewanya di Centre Point 2 semalam.
Mangsa merupakan juruwang sebuah kedai makan di kawasan tersebut.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Miri, Supt Mohd Sabri Zainol, wanita berusia 44 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri oleh rakannya dalam keadaan terbaring di dalam bilik berkenaan sekitar 10.32 malam.
“Rakan wanita terbabit telah pergi ke biliknya selepas mangsa tidak menjawab panggilan telefon dan membalas WhatsApp,” ujarnya.
Sabri menambah, rakan mangsa menunggu hampir satu jam di tingkat bawah bangunan tersebut sebelum bertindak naik ke lokasi bilik sewa mangsa, selepas gagal menerima sebarang maklum balas.
“Apabila sampai, mereka dapati si mati yang berusia 44 tahun itu telah tidak sedarkan diri,” jelasnya.
Pihak polis dan ambulans segera dipanggil ke lokasi.
Kata Sabri, tiga hari sebelum kejadian, si mati ada mengadu sakit kepala (‘migraine’) kepada rakan sekerjanya.
Kes diklasifikan sebagai mati mengejut.
Mayat kini berada di Hospital Miri untuk bedah siasat. — DayakDaily