Wanita selamat lahirkan anak di sekatan jalan raya, dibantu dua anggota polis wanita

Wanita terbabit bersama bayinya dalam keadaan selamat.

KOTA SAMARAHAN, 11 Jun: Seorang wanita yang sarat mengandung, selamat melahirkan anaknya di sekatan jalan raya (SJR) Kuching-Samarahan Expressway pada lewat malam (khamis) tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Sudirman Kram berkata wanita terbabit semasa kejadian ditemani suaminya dari Semera Ulu, Asajaya menuju ke Hospital Umum Sarawak (HUS).

Walaubagaimanapun, semasa perjalanan tersebut, si isteri tidak lagi dapat menahan dan telah melahirkan anaknya di dalam kereta.


Katanya, si suami yang panik kemudian terus memandu melawan arus menuju ke arah SJR untuk mendapatkan bantuan sekitar jam 11.50 malam.

Setiba di SJR, dua anggota polis iaitu Lans Koperal Noor Fatihah Azelam dan Koperal Peraksan Jennie terus membantu menyambut bayi perempuan yang baru dilahirkan itu.

Bayi itu kemudian diselimutkan dengan tuala dan diserahkan kepada ibunya sementara menunggu ketibaan anggota paramedik.

Wanita dan bayi kemudian dihantar ke HUS menggunakan ambulan untuk tindakan selanjutnya. — DayakDaily