Wanita rentung, kereta dipandu terbakar selepas terlibat kemalangan

Keadaan kereta mangsa yang terbakar.

LIMBANG, 15 Ogos: Seorang wanita ditemui rentung di dalam keretanya yang terbakar selepas terlibat kemalangan di Jalan Nanga Medamit, di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 9 pagi.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Limbang dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Semasa tiba di lokasi kejadian, didapati kemalangan melibatkan sebuah Proton Saga dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang mana kereta Proton Saga telah terbakar dan 4WD terbabas ke tepi jalan.

“Pasukan Bomba terus membuat pemadaman dan selepas pemadaman selesai, pasukan Bomba mendapati seorang mangsa iaitu pemandu Proton Saga telah rentung,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, maklumat mangsa sehingga laporan ini diterima masih belum dapat dipastikan.

Siasatan polis masih dijalankan di lokasi kemalangan.

Manakala pemandu 4WD yang turut mengalami kecederaan telah dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan. — DayakDaily