Wanita PKR serahkan memorandum cadangan kepada kerajaan

Zulhaidah (dua dari kanan) menyerahkan memorandum kepada Ketua Suhakam Sarawak Sophia Osman.

KUCHING, 10 Feb: Wanita dan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak pada semalam telah menyerahkan satu memorandum cadangan kepada kerajaan berhubung hak dan kebajikan kanak-kanak yang diletakkan dalam tahanan oleh pihak berkuasa.

Memorandum diserahkan oleh Timbalan Ketua Wanita Zulhaidah Suboh pada kunjungan hormat ke Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti,
Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KKWKP), Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) di Kuching.

Antara cadangan yang dikemukakan adalah mengkaji dan mengemukakan pindaan kepada Akta Kanak-Kanak 2001 supaya ia dapat memberi perlindungan yang lebih menyeluruh kepada kanak-kanak, meningkatkan program advokasi untuk kesedaran awam dan semua pemegang taruh isu kanak-kanak, dan memastikan pelaksanaan Akta Kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak dan Akta Kesaksian Kanak-Kanak dilaksanakan dengan prasarana yang lengkap dan siasatan yang telus.

Memorandum juga mencadangkan agar Garis Panduan Perkahwinan Bawah Umur di bawah KPWKM dan undang-undang yang berkait rapat dengan perkahwinan bawah umur dikaji semula. — DayakDaily