KUCHING, 24 Jan: Pengumumkan penangguhan semua perkhidmatan klinik pakar secara bersemuka di Hospital Miri selama lima hari mulai 25 hingga 29 Januari ini disifatkan mimpi ngeri bagi pesakit kronik di Lawas.
Menurut Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Agnes Padan, masalahan utama yang dihadapi oleh pesakit kronik di Lawas yang amat memerlukan khidmat kesihatan adalah terpaksa berhadapan dengan derita sakit.
āIni ditambah lagi dengan kos pengangkutan yang tinggi dan keterbatasan pergerakan akibat sekatan perjalanan hanya untuk mendapat ubat bukannya rawatan.
āRawatan susulan pesakit juga ditunda. Apakah nasib pesakit-pesakit ini dan berapa lama mereka harus menunggu untuk mendapatkan rawatan?ā soal Agnes.
Penangguhan tersebut diumumkan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Chin Zin Hing pada 22 Januari lepas berikutan 20 kakitangan yang kebanyakannya petugas di unit kecemasan dijangkiti Covid-19.
Justeru, Agnes menyeru kerajaan supaya segera menyiapkan projek Hospital Lawas.
Bukan bertujuan untuk mempolitikkan isu kesihatan di kala peningkatan kes Covid-19, Agnes berkata, penduduk daerah tersebut sangat memerlukan khidmat kesihatan yang lengkap.
āDengan beroperasinya Hospital Lawas nanti, ia mengurangkan kos perbelanjaan tinggi yang membebankan pesakit dan juga keluarga pesakit.
āPerjalanan ke hospital terdekat yang lengkap sangat diperlukan tanpa perlu melalui beberapa sempadan antara Sarawak dan Brunei sebelum sampai ke Hospital Miri mahupun ke hospital di Sabah,ā katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Tambah Agnes, hak penduduk Lawas untuk memperolehi sistem kesihatan yang terbaik sudah lama diabaikan.
Wanita PKR, katanya, bertekad untuk terus memperjuangkan hak dan keperluan kesihatan penduduk Lawas yang lengkap dan sistematik daripada kerajaan negeri Sarawak dan kerajaan persekutuan.
Jelas beliau, penduduk Lawas sudah menunggu 25 tahun untuk hospital baru dan mereka tidak boleh menunggu lagi. ā DayakDaily