KUCHING, Mac 9: Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) sudah memulakan gerak kerja secara agresif bagi memastikan jentera parti bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Ketua Wanita PBB Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, sayap Wanita PBB dan parti komponen Barisan Nasional (BN) negeri ini kini sudah bersemangat tinggi untuk memastikan BN secara keseluruhannya menang bergaya di Sarawak.
Menurutnya, momentum sedemikian perlu diteruskan bersama-sama sayap-sayap BN yang lain supaya parti itu mampu mempertahankan kemenangan pada kerusi Parlimen yang dipertandingkan kelak.
“Saya harap semangat ini diteruskan bersama pengundi agar dapat menentukan kemenangan BN di Sarawak dan di seluruh negara amnya. Itu harapan kami dalam Wanita PBB khususnya.
“Setiap sayap BN ada tugas masing-masing dan gelombang biru pasti berkibar dengan megah dalam PRU14 kelak,” katanya selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi Pergerakan Wanita PBB Sarawak (2018-2020) di sini hari ini.
Fatimah menambah, usaha memulihkan keyakinan segenap lapisan masyarakat terhadap BN juga perlu dilaksanakan segera supaya parti itu terus dihormati dan diyakini sebagai pembela rakyat.
Katanya, kerjasama erat yang ditunjukkan oleh setiap ahli Wanita BN diyakini mampu menawan semula beberapa kawasan yang disandang oleh pembangkang dalam pilihan raya umum lepas.
“Ingin saya tegaskan lagi bahawa jentera Wanita BN di Sarawak kini sudah bersiap-sedia di semua kawasan Parlimen untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang,” ujarnya. — DayakDaily