Wanita nyaris maut, ditembak di Serian

Senapang yang digunakan dalam tembakan tersebut.

SERIAN, 10 Mei: Seorang wanita dikejarkan ke Hospital Serian akibat kecederaan selepas ditembak oleh seorang lelaki menggunakan senapang patah pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis berkata mangsa berusia 39 tahun cedera di tangan dan bahunya akibat terkena tembakan tersebut.

Katanya, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian pada jam 8.10 pagi.


“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di mana suspek seorang lelaki tempatan berusia 67 tahun telah melepaskan tembakan ke arah mangsa.

“Mangsa yang bekerja di sebuah syarikat simen telah mengalami kecederaan di bahagian tangan serta bahu sebelah kanan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tempat kejadian tembakan tersebut di Serian.

Mangsa telah dikejarkan ke Hospital Serian untuk mendapatkan rawatan.

“Suspek telah ditangkap oleh orang awam dan diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya.

Setakat ini, motif kejadian masih dalam siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan. — DayakDaily