This Content Is Only For Subscribers
KOTA SAMARAHAN, 5 Jun: Seorang wanita disahkan meninggal dunia, manakala suami dan anaknya cedera selepas terlibat kemalangan di Jalan Ensengei, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Brodie Brangka berkata kemalangan dilaporkan berlaku sekitar jam 8.30 malam.
Katanya, mangsa, 38 tahun, bersama suami dan anak lelaki mereka yang berusia 5 tahun menaiki sebuah motosikal dari arah Asajaya menuju rumah mereka di Kampung Siniawan.
“Semasa bergerak lurus, mereka telah dilanggar dari belakang oleh sebuah Perodua Alza yang juga bergerak dari arah Asajaya.
“Akibat perlanggaran tersebut menyebabkan penunggang (suami) dan kedua-dua pembonceng (isteri dan anak) dikejarkan ke Pusat Jantung Sarawak untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Si isteri bagaimanapun disahkan meninggal dunia semasa mendapat rawatan di Pusat Jantung Sarawak akibat kecederaan dalaman.
“Manakala penunggang mengalami cedera parah di kepala dan anak mereka mengalami patah kaki,” katanya.
Pemandu Perodua Alza tidak mengalami kecederaan.
Kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily