Oleh Dean Adam
MIRI, Dis 2: Seorang wanita maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah lagi kereta jenis BMW di simpang Jalan Hospital di sini petang tadi.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, identiti mangsa yang meninggal dunia masih belum diketahui.
Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan tersebut pada pukul 6.01 petang.
Katanya, sejurus itu, sepasukan sembilan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.
“Apabila tiba di lokasi kemalangan, pasukan bomba mendapati kemalangan tersebut melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan kereta BMW.
“Pemeriksaan lanjut mendapati, seorang wanita yang memandu Perodua Myvi dalam tersepit dan sudah tidak bernyawa lagi,” katanya di sini hari ini.
Law menambah, anggota bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa dari tempat duduk pemandu untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut
“Operasi tamat selepas mayat mangsa dihantar ke Hospital Miri untuk dibedah siasat,” katanya. — DayakDaily