Wanita maut, kenderaan dipandu terhumban masuk dalam parit

Pasukan bomba berusaha mengeluarkan mayat mangsa.
Advertisement

SARIKEI, Sept 10: Seorang wanita maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terbabas lalu terhumban masuk ke dalam parit di Jalan Saratok-Sarikei berhampiran SK Berayang di sini malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 8.20 malam itu mengakibatkan mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.24 malam.

Advertisement

Katanya, sejurus menerima panggilan kecemasan, sepasukan lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok dikerahkan ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati sebuah kenderaan pacuan empat roda berada di dalam parit yang sedalam kira-kira 8 meter dari paras jalan raya di situ.

“Pemeriksaan lanjut mendapati seorang wanita yang memandu kenderaan berkenaan sudah tidak bernyawa lagi,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama memberitahu, pasukan bomba kemudian mengeluarkan mayat mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis.

Katanya, operasi mengeluarkan mangsa tamat sejurus mayat mangsa dibawa ke hospital.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan kemalangan tersebut.

“Buat masa ini, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. — DayakDaily

Advertisement