Wanita maut dirempuh semasa bantu tukar tayar pancit

Keadaan di tempat kemalangan.

MUKAH, Mei 10: Seorang wanita warga emas maut selepas dirempuh sebuah Ford Ranger di KM23, Jalan Mukah-Balingian di sini semalam.

Kejadian kira-kira pukul 10.15 pagi itu, mangsa, Naie Lagar, 67, dari Kampung Medong Hulu, Dalat di sini disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah pada anggota badannya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt. Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu Ford Ranger sedang dalam perjalanan menuju ke arah Balingian.


Katanya, nahas kemudian berlaku apabila Ford Ranger itu tiba-tiba merempuh mangsa yang sedang membantu membuka tayar sebuah van yang pancit di bahu jalan berkenaan.

Katanya, akibat rempuhan itu, mangsa dikatakan tercampak dan mengalami kecederaan parah.

“Pemandu Ford Ranger dan van terbabit pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pihak polis sudah merakam keterangan daripada kedua-dua pemandu kenderaan tersebut untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alexson menambah, mayat mangsa sudah dihantar ke hospital sebelum dituntut oleh ahli keluarganya.

“Buat masa ini, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi. — DayakDaily