Wanita maut dalam nahas di Jalan Bintulu-Miri

Keadaan kereta mangsa yang terbalik akibat kemalangan tersebut.

BINTULU, 20 April: Seorang wanita maut dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Jalan Bintulu-Miri, tujuh kilometer dari Simpang Bakun, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 10.44 pagi.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Samalaju dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu Toyota Hilux dengan Perodua Myvi dan terdapat seorang mamgsa masih tersepit di dalam Perodua Myvi.

“Pasukan bomba kemudian mengeluarkan mangsa dan dia telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Manakala pemandu Toyota Hilux dilaporkan turut mengalami kecederaan.

Pasukan bomba kemudian bertindak membersihkan sisa-sisa kemalangan dan pulang ke balai selepas itu.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 12.30 tengah hari.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Suzanti Yakob berusia 49 tahun. — DayakDaily