SIBU, 24 Dis: Seorang wanita meninggal dunia dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal di Jalan Oya di sini, hari ini.
Jurucakap Pusat Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, kebakaran yang berlaku sekitar jam 12.08 tengah hari tadi memusnahkan sepenuhnya rumah dua tingkat jenis separuh kekal tersebut.
Katanya, pihak bomba yang tiba dilokasi kejadian dimaklum terdapat seorang mangsa iaitu seorang wanita masih terperangkap didalam rumah tersebut.
“Pasukan bomba bertindak memadamkan kebakaran tersebut dan seterusnya mencari mangsa yang dilaporkan terperangkap semasa kebakaran tersebut berlaku.
“Mangsa, Kong King Ling, 30, telah dijumpai berdekatan bilik air di tingkat bawah rumah tersebut,” katanya.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis yang turut berada di lokasi kejadian untuk tindakan selanjutnya. Punca kejadian serta jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan. — DayakDaily