Wanita luar bandar perlu berani tampil sumbang kebolehan

Rohani (duduk tengah, tudung biru) merakamkan gambar bersama tetamu Program Warga Ceria di Sebuyau.

SEBUYAU, April 22: Golongan wanita di luar bandar di negeri ini perlu berani tampil untuk menyumbang kepada pembangunan negara bersandarkan kekuatan dan kebolehan yang dimiliki mereka.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, setiap wanita mempunyai peranan tersendiri dalam bidang yang dipelopori meskipun sekadar menjadi suri rumahtangga sepenuh masa.

Jelas beliau, wanita bukan hanya dilihat sebagai pengurus rumahtangga tetapi tanggungjawab itu lebih besar apabila jaminan masa depan generasi akan datang terletak kepada sumbangan golongan itu.


“Wanita hari ini kian bergerak maju dalam pelbagai bidang, justeru peranan wanita amat penting dalam institusi kekeluargaan kerana mementingkan keharmonian, kesejahteraan dan kesihatan dalam keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Warga Ceria (Jalinan Wanita) anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) bersama Jawatankuasa Wanita PBB N.27 Sebuyau di sini hari ini.

Dalam pada itu, penyandang kerusi Parlimen Batang Lupar menambah, pelbagai inisiatif yang telah digariskan dalam Manifesto Barisan (BN) Nasional yang mengutamakan ibu dan wanita sebagai teras manifesto pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Jelas beliau, kerajaan BN berjanji mengutamakan wanita dengan tumpuan turut diberikan kepada wanita luar bandar.

“Wanita akan diberikan kemudahan dalam pemerolehan pinjaman mikrokredit dan turut diwujudkan jaringan kerjasama yang mantap melalui latihan vokasional dan TVET.

“Pendapatan ibu-ibu tunggal B40 juga akan ditambah melalui latihan di kursus asuhan Permata”, katanya. — DayakDaily